Nur Iryani – Pengalaman Bersalin HypnoBirthing Di Hospital Kerajaan

Pada suatu hari, semasa anak sulungku, Fatih 11 bulan, aku merasakan sedikit senak di bahagian rahim seperti hendak datang haid. Kemudian setiap kali menyusu, Fatih akan menangis seolah-olah tak puas menyusu dan tak kenyang. Gerak hatiku mengatakan aku sedang mengandung kerana aku sudah terlewat datang haid selama seminggu walaupun sepatutnya ini pusingan haid keduaku selepas bersalinkan Fatih. Ya, aku mengalami lactational amenorrhea (tak datang haid kerana menyusu). Ini bermakna selepas bersalin, aku tak datang haid selama 10 bulan dan terus mengandung selepas datang haid kali pertama pada bulan ke-10.

Sejak dari itu, aku mula menimba ilmu tentang kelahiran alami yang diceritakan oleh mamaku. Aku menyertai “The Gentle Birthing Group Malaysia” di Facebook (https://www.facebook.com/groups/mygentlebirth/) secara tidak sengaja semasa kandunganku mencecah 5 bulan. Kemudian aku mengajak suami pergi ke birth buddies potluck yang diadakan. Kami nekad ke sana walaupun tak mengenali sesiapa, semata-mata nak menimba ilmu berkenaan kelahiran alami dan sejahtera (gentle birting). Di sana, aku mendapat ramai sahabat yang berkongsi pengalaman bersalin mereka dan meminjamkan aku beberapa buah buku untuk dibaca. Selepas pulang dari sana, suami mengajakku menimba ilmu yang lebih formal untuk lebih memahami teknik-teknik dalam kelahiran alami ini.

Aku masih menyusukan anak pertama sepanjang mengandung. Aku berhasrat untuk menyusukan kedua-duanya apabila adiknya lahir nanti. Aku memanjatkan seinfiniti kesyukuran pada Allah kerana memberiku peluang menyusu semasa mengandung. Ia suatu pengalaman yang sangat indah buat perjalanan penyusuanku. Pada kandunganku genap 37 minggu, aku merasakan kontraksi (baca : surges) setiap kali selepas menyusu. Setiap hari surges datang semakin kuat dan kerap. Setiap kali surges datang, aku berlatih bernafas dengan Surge Breathing.

Pada 1 Syawal, kandunganku mencecah 38 minggu. Surges menjadi sekata setiap 15 minit dan semakin kuat. Semua saudara-mara yang datang beraya ke rumahku menegur dan mengetahui aku sedang mengalami surges berikutan riak wajahku menahan proses pengecutan rahim. Pada tahun ini, aku tak rasa nak beraya kerana lebih teruja nak menyambut kedatangan bayi comel dalam ahli keluarga kami. Setiap kali surges datang, aku memang dah tak boleh bersembang atau makan atau buat apa-apa lagi. Hanya mampu senyum dan tersenyum. Suamiku kata hidungku semakin merah setiap kali surges datang menjengah. Surges yang datang secara berkala setiap 15 minit datang menemani aku selama seminggu. Cuti suamiku juga sudah sampai ke penghujungnya.

Isnin, 27 Ogos 2012 : kandunganku genap 39 minggu. Suamiku sudah pulang untuk kembali bertugas di KL sementara aku dan Fatih berada di kampong Pontian, Johor. Pada pukul 4 pagi, aku terjaga berikutan surges yang sangat kuat sehingga aku menggigil dan memegang dinding untuk ke bilik air. Terasa mahu membuang air kecil dan aku dapati terdapat sedikit tompok darah coklat yang keluar.

Selepas keluarnya tanda darah, rupa-rupanya surges menjadi semakin kerap iaitu setiap 10 minit dan lebih kuat. Pada waktu ini, aku dah tak terdaya untuk mendukung bayi pertamaku, Fatih. Tetapi kerja-kerja rumah yang lain aku masih mampu buat seperti biasa. Aku menelefon suami dan menyuruh suami pulang ke kampung sekiranya surges datang setiap 5 minit.

Selasa, 28 Ogos 2012, 8 Syawal : surges datang setiap 7 minit. Pada pukul 9 pagi, selepas memandikan Fatih, aku masih boleh tidur lena lepas tu hingga pukul 12 tengahari. Badan terasa sangat segar selepas beberapa malam aku tak boleh tidur lena. Kemudian aku makan tengahari bersama Fatih sementara menunggu mamaku yang juga seorang guru pulang dari sekolah.

Petang itu, aku sudah tak mahu kira surges datang setiap berapa minit setelah mendapat nasihat daripada beberapa orang sahabat gentle birting. Mengira surges boleh membuatkan kita berasa cemas dan seterusnya menghalang hormon oksitosin untuk sentiasa ada dalam badan kita. Mereka menyuruh aku berehat dan tenang sepanjang masa. Minum jika terasa dahaga, makan jika terasa lapar, tidur jika terasa mengantuk. Buatlah apa sahaja yang boleh membuatkan kita berasa tenang dan gembira. Sepanjang petang aku melayan Fatih dan bermain bersamanya. Aku ingin memanjakan dia sepuas-puasnya sebelum adiknya lahir ke dunia fana ini. Benar sekali, aku terlupa bahawa sekarang aku sedang mengalami kontraksi!

Menjelang waktu maghrib kira-kira pukul 7malam, aku mula rasa mencucuk-cucuk di bahagian pinggang belakang. Tika ini, setiap kali surges hadir, aku mempraktiskan Surge Breathing dan muka aku sudah sangat merah lepas tu. Pada waktu ini, aku hanya duduk di atas birth ball. Selepas menunaikan solat maghrib, aku segera menelefon suami menyuruhnya balik pada malam ini kerana gerak hatiku mengatakan anak kedua kami akan lahir pada malam ini. Ketika solat, aku sujud dengan agak lama memohon pada Yang Maha Esa semoga bayiku ini berada pada kedudukan yang optimal.

Pada pukul 8.15 malam aku sudah mengajak Fatih baring di atas katil. Rutin biasa untuk Fatih, sebelum tidur biasanya dia akan menyusu dan memeluk perutku yang sudah sangat sarat itu. Aku menyusukan Fatih seperti hari-hari sebelumnya. Air mataku dah tak dapat ditahan lagi. Surges datang semakin hebat. Fatih menyentuh air mataku dan aku bisik padanya,

“Fatih kena tolong ummi ye sayang, adik dah nak keluar ni”…. “Fatih kena tido sekarang, kejap lagi ummi nak lahirkan adik, esok pagi Fatih bangun adik comel yang dalam perut ummi dah keluar, tido sekarang ye sayang”.

Fatih angguk tanda faham dan mengusap pipi serta perutku. Aku sungguh terharu kerana dia sangat penyayang seperti suamiku juga.

Selepas itu, aku terus menggigit kain kerana tak mahu hembusan nafasku yang semakin kuat mengganggu tidur Fatih. Suami bertolak pada pukul 8.30 malam selepas memaklumkan bosnya kerana sepatutnya dia bekerja shift malam pada hari tersebut. Aku cuba membayangkan bayiku di dalam rahim sedang makin turun mengikut huruf J. Aku membayangkan bayiku akan keluar sebentar sahaja lagi untuk berjumpa dengan abangnya. Aku membayangkan saluran serviks sedang menipis dan meregang seperti kelopak bunga mawar merah yang sedang mekar, kepala bayiku akan keluar dari situ. Semua gambaran itu berjaya membawa aku berkhayal ke alam yang lain. Aku semakin seronok setiap kali surges datang. Mungkin inilah hikmah daripada prodromal labour yang aku alami sejak 2 minggu yang lalu. Aku dapat menarik dan mengambil nafas dalam jangka masa yang agak lama dengan begitu mudah sekali.

Tiba-tiba bunyi ketukan di pintu bilik, adik bongsuku rupanya yang masuk untuk memberikan aku segelas air kelapa pandan. Aku hanya angguk tunjukkan ke arah meja supaya dia faham aku menyuruhnya letak di atas meja. Surges ketika itu membuatkan aku dah tak boleh berkata-kata walau sepatah pun. Lewat petang itu, papa aku membawa balik banyak kelapa pandan dari kebun. Hasil pertama tanaman kelapanya dibawa pulang. Tak lama kemudian, adik ketigaku pula yang ketuk pintu dan memberiku satu kole lagi air kelapa pandan. Aku sudah mula rasa terganggu. Akhir sekali mama pula yang masuk ke bilik dan membawa sebiji air kelapa beserta dengan straw sekali. Sempat aku berpesan pada mama, selepas ini aku tak mahu diganggu lagi dan tak benarkan sesiapa masuk ke bilikku dengan alasan takut Fatih terjaga daripada tidur. Ya, mama tak perasan aku sekarang tengah strong labour, mungkin sebab muka aku biasa je, tak macam nak bersalin pun. Hihihi….

Aku sudah hilang fokus selepas mereka semua masuk ke bilikku. Aku cuba membayangkan semula visual seperti sebelum ini tetapi gagal. Aku ambil keputusan untuk mandi air panas. Dengan perlahan-lahan aku bergerak ke bilik air dan mandi pada pukul 9 malam. Rasa sangat enjoy dan tenang. Sedar-sedar sudah 1jam aku mandi. Aku berkhayal lagi ke alam lain. Aku tak rasa apa-apa kontraksi pada waktu ini. Ah, selesanya terutama apabila air panas menyentuh di bahagian belakang pinggangku. Sambil mandi, aku menari-nari seolah-olah sedang mendengar lagu dangdut. Ini yang cuba aku praktikkan seperti yang diajar dalam kelas Kak Nadine.

Selepas mandi, aku mahu solat isyak dulu tapi rasanya dah tak mampu lagi. Jari-jariku dah kecut akibat mandi terlalu lama. Aku kembali duduk ke atas katil dan buat all fours dengan 5 biji bantal diletakkan di bawah kepalaku. Aku minum kesemua air kelapa tersebut. Emm, manis sangat. Kini aku cuba mengvisualkan untuk menguruskan surges yang datang dan pergi tetapi semuanya gagal. Aku rindu pada suamiku. Aku mahu dia mengurutku sekarang seperti pada kelahiran anak pertama dulu. Aku mahu dia bersama-samaku sekarang mengaplikasikan segala teknik HypnoBirthing yang kami dah belajar sebelum ini. Aku sedar, tak mungkin kerana paling cepat pun dia tiba di kampung hanya pada pukul 12.30 malam. Sekarang baru pukul 10.00 malam.

Aku menoleh ke arah Fatih yang sedang lena tidur dan menciumnya. Serta-merta aku berasa tenang apatah lagi terbau minyak telon yang aku pakaikan padanya sebelum Fatih tidur lagi. Aku mengambil minyak telon dan letakkan di hidung apabila surges datang. Ia mengingatkan aku bahawa bayi yang comel akan keluar tak lama lagi dan aku tak nak melawan lagi jika surges datang. Aku serahkan semuanya pada Allah dan aku percaya badanku boleh melahirkan bayi dengan mudah dan cepat.

Sedar-sedar jam telah menunjukkan pukul 10.45 malam. Tiba-tiba aku teringatkan suamiku alangkah bahagianya jika dia ada sisi boleh juga tolong urutkan tulang belakangku. Aku menelefonnya tetapi tak mampu berkata apa-apa. Hanya dalam hati saja, aku mahu katakan padanya mahu melahirkan bayi ini seorang diri di dalam bilik. Dia memberikan kata-kata semangat buatku dan aku harus buat plan kedua kami iaitu pergi ke hospital sekiranya suamiku tiada di sisi. Kemudian, aku menelefon mama yang kukira sudah tidur. Pukul 11 malam baru mama yang sudah cantik berpakaian serba biru datang ke bilikku.

Apabila mama masuk ke bilik, aku bagitahu mama supaya cuba sambut cucu kedua dia ni. Dia kata okay dan agak tenang mungkin sebab dia pun pernah melahirkan anak-anaknya di rumah, malah sudah pun habis baca buku HypnoBirthing aku. Paling terharu mama juga telah membelikan aku gym ball/birthing ball dan birth pool untuk aku! Ya, aku cuma bagitahu mama teringin nak bersalin dalam air, tapi tak sangka pula dia belikan betul-betul. Mama suruh aku doa banyak-banyak agar suamiku sempat sampai ke rumah untuk menyambut bayi kami.

Kemudian, aku menyuruhnya mengurutkan belakangku. Alhamdulillah sangat melegakan. Aku sengaja tak mengemas pakaian untuk ke hospital. Jadi, mama mengurut belakangku sambil mengemas beg baju aku dan bayi untuk ke hospital, just in case. Aku memberi alasan pada mama bahawa aku sudah tak larat nak berjalan. Ketika ini aku sudah terasa nak meneran. Aku sudah bersedia untuk melahirkan di atas katil dengan beralaskan beberapa helai kain di atas cadar katil. Birth pool mama sudah letakkan di luar bilik air, hujung katilku untuk diisi dengan air.

Keadaan jadi kelam kabut apabila papa yang sebelum ini di dalam biliknya masuk ke dalam bilikku. Dia bertanyakan pada mama apa yang dah berlaku. Mama memberitahu aku sudah tak boleh berjalan. Papa menyuruh adikku menelefon ambulans dan adikku juga mahu mengendong aku. Tiba-tiba aku menjerit kuat dan menyuruh semua orang diam lalu bersetuju akan pergi ke hospital dengan menaiki kereta bukan ambulans. Aku hanya mahu mendengar suara mama sahaja. Sejurus aku bertempik, Fatih terjaga daripada tidur dan menangis.

Mama mendukung Fatih dan memimpin aku berjalan ke kereta. Mama mengurut belakangku sambil mengingatkan aku selalu agar sebut dan ingat Allah je waktu ni.

“Orang nak bersalin tak boleh marah! Sebut Allah…Allah…ulang banyak kali….”

Di dalam kereta aku memeluk Fatih sambil bersandar pada mama. Aku sudah terasa kepala bayi di pelvis setiap kali aku breathing down. Seboleh-boleh aku tak mahu meneran. Papa membawa kereta dengan tersangat laju dan melanggar kesemua 5 lampu isyarat. Aku berzikir dengan mama bersama-sama dengan nada yang kuat.
Apabila sampai di hospital, aku hanya berdiri gaya kekuda seperti hendak bersilat kerana aku betul-betul rasa kepala bayiku sudah berasa di situ. Aku mahu mencangkung ketika itu, tetapi mama pantas mengambil kerusi roda dan menyuruh aku duduk. Pelajar jururawat menolak kerusi rodaku ke bilik saringan kerana staff nurse yang melihat keadaan aku dan menyangka aku masih di peringkat early labour. Di bilik saringan, staff nurse mahu melakukan VE tapi dah tak boleh masukkan jari kerana kepala bayiku sudah berada rendah di bawah pelvis.

Aku dipindahkan pula ke bilik bersalin dan aku naik ke atas katil dengan susah payah kerana mengawal kedudukan kepala bayi di celah tulang pelvisku. Hahaha… Pelajar jururawat mahu meletakkan ECG/CTG di perutku tapi dah tak jumpa denyutan nadi bayi sebaliknya kena marah pula dengan staff nurse. Datang seorang nurse biasa sambil memegang buku rekod mengandungku. Dia menyuruh aku teran sekarang sambil tangannya menyentuh perutku kerana aku dah crowning sementara staff nurse tadi tengah sibuk pakai apron plastic dan sarung tangan dan prepare alat untuk pecahkan ketuban. Sempat lagi aku tepis tangannya dan katakan,

Aku : Puan nurse, saya mohon sangat tolong jangan sentuh saya….
Nurse : Awak dah crowning ni, cepatlah teran nanti lemas kepala baby lama-lama kat situ…
Aku : Puan nurse, tolonglah relaks saya nak bersalin ni. InsyaAllah semua selamat. Lagipun saya tak rasa contraction lagi….
Staff nurse : Tak payah tunggu contraction, teran je confirm keluar. Kenapa awak senyum ni, teran sekarangggg! (aku senyum sebab cuba berasa gembira setiap masa tanpa mahu mendengar apa-apa arahan daripada nurses)

Welcome! Aku rasa bingung tiba-tiba dan sebut Allah kuat-kuat. Tiba-tiba surges datang, aku angkat badan, baby pun meluncur keluar dengan sendirinya tanpa meneran beserta air ketuban yang melimpah terkena baju nurse dan pelajar tadi. Hihihi….

Allahuakbar!!! Staff nurse tadi tak sempat pegang bayiku kerana dia sedang pegang alat untuk memecahkan ketubanku. Alhamdulillah lahirlah Muhammad Hassan ke dunia ini dengan mudah sekali pada pukul 11.35 malam walaupun dengan keadaan hospital kerajaan yang sukar dijangka ragam emosi jururawatnya. Bayi kami keluar tanpa tangisan, apabila staff nurse letakkan di atas dadaku barulah dia merengek sedikit, menguap dan cuba untuk sambung tidur pula. Hihihi. Aku pantas memeluk dan menciumnya dan Hassan mendongak untuk memeriksa keadaan sekeliling.

Kali ini aku berasa sangat segar selepas bersalin dan cepat sihat seolah-olah macam tak bersalin pula. Pada asalnya kami bercadang untuk bersalin di rumah tetapi Allah lebih hebat merencana apa yang terbaik buat hamba-Nya.

Buat anak-anakku Muhammad Alfatih & Muhammad Hassan :

Semoga Allah memberikan keberkahan untuk dirimu atas (kurnia) yg diberikan kepadamu. Semoga engkau mensyukuri Yang Maha Memberi hingga sang anak menjadi dewasa dan menjadi anak yang berbakti. Sesungguhnya aku memperlindungkan kepada-Mu (anak ini) dengan kalimat-kalimat Allah yang Sempurna, dari segala gangguan syaitan dan gangguan binatang, serta gangguan pandangan mata yang dapat membawa akibat buruk bagi apa yang dilihatnya. Ammen Ya Rabb….

— Nur Iryani (August 2012)

Hi, I'm Nadine

A self-confessed birth junkie, I love all things birth and breastfeeding… I’m so lucky to be able to work with expectant families and share this very special time in their lives with them :) I am also a Life Coach helping mothers overcome burnout and overwhelm.

From the Blog

Categories

Services

Whatever birth you’re planning for, be it at home, hospital or birthing centre, HypnoBirthing® can help.

Free Online Workshop

An introduction to HypnoBirthing via Zoom. Just tell me where to send you the, time, date, and zoom link.

Free Introductory Online Workshop

Hey, have you considered my free introductory online workshop? Just tell me where to send you the time, date, and zoom link.